hsajksahckh

Oct 25, 2009

Ahmed Deedat - "Islam The Message Of Peace And Truth" Part 1

Posted by Raudhatul Tarbiyyah at 11:17 PM 0 comments

Oct 20, 2009

Cinta Kampus : Matlamat Halalkan Cara

Posted by Raudhatul Tarbiyyah at 7:22 AM 0 comments
Editor: RosNiza Abdullah

Matlamat salah cuba menghalalkan cara.

Melalui hidup sebagai remaja, hidup di universiti yang berjauhan daripada ibu bapa, sedikit sebanyak, tempiasnya akan terkena juga. Terlalu banyak dugaan dalam cinta siswa siswi dan tidak semudah kata-kata untuk memelihara diri. Kehidupan di kampus yang jauh daripada pengawasan keluarga menyebabkan diri mudah terpedaya dengan ajakan nafsu.

Bagi mereka yang sudah terjebak, bukan mudah untuk membuat keputusan yang rasional di saat emosi dan perasaan sedang berkecamuk. Kalau ambil keputusan untuk berpisah, adakah masih ada lelaki lain yang seperti dia? Kalau diteruskan hubungan ini, sanggupkah aku menanggung dosanya?

Tiada siapa yang akan menolong aku kalau bukan aku. Kekuatan itu mesti bangkit daripada dalaman diri sendiri. Jika niat itu sudah nekad, Allah Taala akan permudahkan jalan itu.

Inilah dunia sekarang yang penuh dengan kekeliruan dan jauh daripada penghayatan Islam sebenar. Masing-masing menggunakan agama sebagai pasport untuk membuat kebaikan daripada kaca mata mereka sendiri bukannya apa yang telah digariskan oleh Allah Taala dan Rasul.

Walaupun pada awalnya kita berniat hendak melakukan sesuatu yang baik, tapi mudah sungguh syaitan dan nafsu memesongkan niat suci itu dalam pelbagai cara yang cukup kreatif. Rasanya ramai remaja merasakan perlu kepada teman lelaki atau perempuan yang berlainan jantina merupakan satu ‘keperluan’ untuk rasa sempurna. Tempiasnya terkena juga kepada golongan remaja khususnya siswa dan siswi yang nampak komited pada kerja-kerja dakwah.

Sememangnya manusia lebih terdedah kepada kebaikan yang adakalanya mengaburi mata mereka, walhal perkara itulah sebenarnya yang mengundang malapetaka buat diri mereka sendiri. Begitu payahnya kita mahu membezakan perkara yang baik dan yang benar-benar baik. Apabila kita sudah terhantuk barulah kita baru terngandah itulah sebenarnya kesilapan.

Mereka tahu mereka hidup dalam dosa dan kesalahan, cuma yang penulis tidak faham bagaimana mereka boleh rasa sayang untuk lepaskan pasangan semata-mata mereka rasa dalam perhubungan mereka masih ada kebaikan, bersandarkan kepada sms tazkirah, suruh bangun tahajjud. Bagaimana mereka memandang dan menilai kebaikan?



MATLAMAT HALALKAN CARA

Penulis rasa gusar memandangkan beberapa kes yang banyak berlaku di kalangan mereka ingin membawa Islam, tetapi akhlak pergaulan muslimah dan muslimin tidak dijaga.

Hanya berbekalkan perkataan yang berbentuk perbincangan, jihad, tazkirah, dan mengejutkan untuk ber-tahajjud, sinonim dengan perbincangan berbau Islam mereka anggap hubungan mereka ini sudah diredhai walaupun hanya sekadar bertelefon, sms, e-mail dengan luahan perasaan cinta masing-masing.

Tambahan lagi pengaruh nasyid temporari kini yang hangat mengutarakan lagu cinta sesama muslim menjadi penghangat cinta bagi mereka yang menghalalkan cara.

Segala-galanya adalah mainan perasaan yang kerap melihat kebaikkan di dalam dosa itu, dan amat jarang bagi kita untuk bermuhasabah di atas kebaikkan-kebaikan yang kita sangkakan telah dilakukan. Memanglah alam remaja, teramat indah jika ada orang lain yang sentiasa caring ke atas kita, tetapi percayalah ianya hanyalah khayalan sementara kerana selepas hidup bersama barulah kita tahu kelemahan dan keburukan pasangan masing-masing.

Bila anak-anak sudah bertambah dan kesibukan hidup pun juga bertambah, hilanglah segala impian-impian dan angan-angan terdahulu.

Kepada adik-adik remaja, khususnya mereka yang di bangku menara gading, jauhilah maksiat ber-couple atau apa sahaja perlakuan mungkar kerana semuanya itu saling membuktikan kepada Allah Taala bahawa kalian berdua amat berani mendurhakai Allah Taala. Rumahtangga dibina bukan hanya atas cinta, tetapi juga pada saling mempercayai.

Jika Allah sudah diingkari, siapa lagikah yang boleh dijadikan tempat meletakkan kepercayaan? Dosa semalam akan pasti menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya.

Muhasabahlah kalian.



HAYATI AJARAN ISLAM SEBENAR

Kita bincang pasal manusia, naluri manusia suka dicintai dan mencintai, hati pula kalau sentiasa senang akan menjadi bosan tapi kalau sentiasa susah hati akan menjadi rawan, nafsu adalah kelemahan manusia. Barang siapa berjaya menundukkan nafsu, martabatnya akan menyaingi malaikat, kalau ditundukkan oleh nafsu akan turun lebih rendah daripada binatang.

Memang susah merubah seorang musuh menjadi kawan, kemudian menjadi sahabat, memadamkan kemarahan hati dan merubah muka marah dengan senyum, memberi maaf kesalahan sehingga udara yang tadinya mendung menjadi terang benderang. Memang susah melakukan itu, dan ini hanyalah pekerjaan orang yang berhati waja, mempunyai kemahuan yang besar dan bercita-cita mulia.

Namun sedar atau tidak, takwa kepada Allah Taala adalah yang perlu ditekankan. Betapa beratnya balasannya andai kita tersilap langkah dan akhirnya terjerumus ke arah maksiat yang pastinya kita semua maklum tentang balasan Tuhan.

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang berusaha (berjihad) dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya” al-Ankabut (29:69)

Usahlah berlengah lagi untuk berhijrah, andai sudah terdetik dalam hati bahawa perlakuan kalian buat ini adalah salah dan dilaknat Allah Taala, segeralah berhijrah kerana teramat khuatir andai hanya kali ini sahaja peringatan Allah Taala datang untuk menegur kita dan kita pula tidak mengendahkannya, kita akan terus hanyut dengan dosa kita sampai ke akhir hayat kita.

Perlakuan matlamat menghalalkan cara mengelabui mata.

Perintah itu wajib.

Berjihadlah dalam mencari cinta yang suci iaitu cinta selepas pernikahan. Mengapa mencari kaca andai telah dijanjikan permata, dan mengapa mencari api yang membakar kalau sudah dijanjikan salju dingin. Bersabarlah untuk sesuatu yang lebih manis pada masa akan datang.

Jika kita mencari redha Allah dengan kemarahan manusia, nescaya dicukupkan Allah dengan keredhaannya , jika kita mencari kemarahan Allah dengan keredhaan manusia nescaya Allah Taala serahkan kita kepada manusia.

Mua’dz ra berdoa sebelum kematiaannya: “Aku mencintai hidup hanya untuk tiga perkara iaitu untuk berpuasa di siang hari, untuk qiammullail di malam hari dan untuk berkumpul dengan para ulama”.

Carilah kesibukkan di antara terlopong masa dengan pekerjaan, daripada sesenang pekerjaan yang dikira ibadat yang boleh menghasilkan pahala. ameen

10 Nasihat Untuk Orang Bercinta

Posted by Raudhatul Tarbiyyah at 6:43 AM 0 comments

Berikut adalah nasihat-nasihat berguna untuk orang-orang yang bercinta:

1. Janganlah kau membiarkan kemanisan bercinta dihirup sebelum engkau berkahwin dengan 'si dia'.

2. Bercintalah kau dengan nya dengan sekadarnya. Kelak mungkin 'si dia' mungkin bukan jodoh untukmu.

3. Jika kau ingin berbahagia seumur hidup, tahanlah dirimu untuk berbahagia sebelum kau berhak menjadi milik 'si dia'.

4. Jika engkau menyintainya, binalah asas perkahwinan dengan tidak melaggar syariatNYA.

5. Kebahagiaan yang kau lihat sebelum berkahwin hanya palsu, yang hakikinya adalah selepas kau diijabkabulkan.

6. Jikalau engkau inginkan pasangan hidupmu yang terbaik untukmu, maka engkaulah yang patut menjadi yang terbaik dahulu.

7. Membina keserasian sebelum berkahwin bukanlah dengan cara ber'dating', cukuplah sekadar engkau tahu apa yang perlu kau tahu.

8. Bercintalah untuk mencapai cintaNYA.

9. Jika engkau masih belum bercinta, tahanlah dirimu untuk bercinta sehingga yakin cinta tersebut membawamu ke gerbang perkahwinan.

10. Jangan biarkan nafsumu dengan cinta yang tidak diterima disisi ALLAH, kelak ALLAH akan tarik kebahagian darimu.

Setiap nasihat ini mungkin tidak relevan kepada seseorang. Mungkin ia juga relevan kepada seseorang yang lain.

Oct 8, 2009

Posted by Raudhatul Tarbiyyah at 7:54 AM 0 comments
PENGENALAN

MAKSUD Usrah dalam bahasa Arab ialah keluarga. Sebagai istilah, usrah bermaksud satu program tetap yang dianjurkan oleh kumpulan yang beriman dan bekerjasama untuk memahami dan menghayati Islam.


ANGGOTA Bilangan anggota usrah terhad. Dalam usrah pimpinan, anggotanya ialah ahli jawatankuasa sesesuatu peringkat organisasi.

TEMPAT Usrah boleh diadakan di rumah anggota usrah dengan cara bergilir-gilir atau di masjid, di surau, di musalla atau sebagainya.


TUJUAN USRAH

Meningkatkan kefahaman anggota-anggota terhadap Islam dan menentukan sikap terhadap satu-satu masalah sebagai umat Islam.
Menambahkan penghayatan dan menimbulkan perasaan tanggungjawab terhadap ajaran Islam secara peribadi dan jemaah.
Membina satu generasi Islam yang mengenali Islam sebagai din wa daulah, menghayatinya dalam kehidupan peribadi, menjadikan azam dan cita-cita serta tindakan mendakwahkannya sebagai sistem hidup dalam keluarga, masyarakat dan negara.
Membina generasi Islam yang menegakkan akhlak Islamiah dalam diri dan sensitif terhadap segala perkara yang tidak Islamik.
Membina generasi Islam yang insaf dan sedar akan pelbagai bentuk cabaran dan godaan yang mengancam kemurnian Islam.
Mendidik perasaan anggota supaya bertanggungjawab terhadap Allah dan Rasul-Nya.
Menghubungkan anggota secara langsung dengan al-Quran dan Sunnah.
Mengikhlaskan diri anggota kepada Allah untuk mencari keredaan-Nya, mengharapkan pahala dan berasa gerun terhadap seksaan-Nya. Sebaliknya bukan disebabkan segan dengan naqib usrah atau kumpulannya. Oleh itu setiap anggota hendaklah membetulkan niat, diikuti dengan amalan sekalipun tanpa arahan sesiapa.
Menggiat dan menyelaraskan usaha mempelajari dan memahami Islam di kalangan anggota.
Menyediakan tenaga yang benar-benar berkemampuan berketrampilan untuk bergerak demi kepentingan Islam.
Memelihara organisasi daripada dimasuki pemikiran yang keliru dan sumbang.
Mengukuhkan perasaan bersaudara dan memupuk semangat bertindak secara jemaah.


PELAKSANAAN USRAH

Usrah diadakan seminggu atau dua minggu sekali.
Majlis usrah dikendalikan oleh seorang naqib atau naqibah.
Solat berjemaah, berwirid, membaca al-Quran adalah rukun utama majlis usrah.
Atur cara tetap usrah yang dicadangkan ialah solat Maghrib berjemaah, berwirid dengan al-Ma'thurat* dan membincangkan kertas-kertas kerja yang telah disediakan oleh naqib atau naqibah. Naqib hendaklah menghuraikan maksud al-Ma'thurat, kelebihannya dan maksud kandungannya.
Majlis usrah mestilah mempunyai tajuk yang tertentu yang telah ditetapkan terlebih dahulu dan dimaklumkan kepada anggota, sebaik-baiknya telah ditentukan bahan rujukan atau teksnya.
Sesudah berbincang dan berbahas dan bertukar-tukar fikiran dengan teliti, maka majlis mengambil satu keputusan atau rumusan yang menjadi pegangan kepada semua. Usrah ditegah sama sekali ditamatkan tanpa menghasilkan sesuatu persetujuan. Perbahasan boleh dilanjutkan kepada beberapa siri usrah sehingga dapat rumusan yang bulat dan konkrit, sekiranya tajuk perbahasan merupakan isu pokok dan memerlukan pandangan pimpinan yang lebih tinggi, maka hendaklah dirujuk kepada peringkat yang lebih bertanggungjawab dalam jemaah.
Tajuk yang akan diusrahkan pada minggu yang akan datang ditentukan oleh naqib atau menurut ketetapan bersama atau menurut arahan pimpinan.
Sebahagian daripada waktu usrah hendaklah diperuntukkan khusus kepada organisasi dan hal ehwal semasa dan perkembangan perjuangan umat Islam di dalam dan luar negara.
Usrah dikehendaki bersurai di sekitar jam 11 malam, sesudah membaca tasbih kafarah dan surah Al-Asr.


ADAB USRAH

1. Ikhlas. Ikhlas hanya kepada Allah seperti firman-Nya, maksudnya: Dan tidaklah mereka tiadalah disuruh, melainkan supaya menyembah Allah, serta mengikhlaskan agama bagi-Nya, beribadat mengharapkan keredaan-Nya) sambil cenderung kepada tauhid, dan supaya mereka mendirikan solat dan memberikan zakat dan itulah agama yang lurus (betul). (Al-Bayyinah, 98:5) Sabda Rasulullah salallahu alaihi wassalam, maksudnya: Hanya segala amal itu dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seseorang itu apa yang dia niatkan. (Mutaffaqun'alaih)
2. Meminta izin masuk. Meminta izin untuk masuk serta memberi salam sebelum memasuki rumah anggota atau tempat diadakan majlis usrah. Firman Allah Taala, maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam rumah yang bukan rumahmu, sehingga kamu minta izin dan mengucapkan salam (selamat) kepada yang empunyanya. Demikian itu lebih baik bagimu, mudah-mudahan kamu mendapat peringatan. (An-Nur, 24:27)

3. Menepati masa. Datang ke majlis tepat pada waktu yang ditetapkan. Sabda Rasulullah s.a.w.: Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Tanda orang munafik itu tiga, iaitu jikalau dia berdusta, jikalau berjanji dia memungkiri dan jikalau diamanahkan dia khianat. (Mutaffaqun'alaih).

4. Suci. Datang ke majlis dalam keadaan berwuduk dan memakai pakaian yang sopan, bersih, suci serta sempurna. Maksudnya: Dari Abu Malik Al-Asy'ari r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Bersuci itu separuh daripada keimanan. (Muslim) Sabda Rasulullah s.a.w. lagi, maksudnya: Dari Usman bin Affan r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang berwuduk lalu memperbagus wuduknya (menyempurnakan sesempurna mungkin) maka keluarlah kesalahan-kesalahannya sehingga keluarnya itu sampai dari bawah kuku-kukunya. (Muslim) Perkara ini diperlakukan supaya senang untuk mendirikan solat, mudah apabila memegang al-Qur'an dan ayat-ayatnya dalam teks usrah, dan terjauh daripada gangguan syaitan ... dapat berbincang tanpa dipengaruhinya.

5. Beritahu naqib jika tidak hadir. Jika ada yang tidak dapat hadir kerana uzur syarie, hendaklah segera memberitahu kepada naqib atau naqibah atau sekurang-kurangnya kepada sahabat yang menjadi tuan rumah. Hal ini bertujuan untuk (a) .Melatih diri bertanggungjawab dalam setiap kerja, (b) supaya naqib dan sahabat tidak tertunggu-tunggu, (c) supaya dapat mengelakkan prasangka yang tidak baik, dan (d) supaya makanan yang disediakan tuan rumah tidak berlebihan.

6. Bersedia dari segi mental dan perlakuan. Datanglah ke majlis dengan persiapan yang telah diamanahkan setelah kita sanggup untuk menunaikannya. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala: Maksudnya: Dan penuhilah perjanjian dan sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. (Al-Israk, 17:34) Perkara ini perlu agar majlis usrah berjalan sebagaimana yang dirancang, kita dapat berlatih menunaikan amanah yang kecil sebelum diberi amanah yang besar, dan akan menjadi pendorong dan contoh kepada sahabat yang kemudian. Kegagalan kita bebuat demikian dibimbangkan akan menjadi alasan kepada sahabat yang lain untuk tidak membuat persiapan pada masa akan datang.

7. Membawa sumber dan alat tulis. Sediakan keperluan seperti al-Qur'an, teks surah, buku-buku catatan dan al-Ma'thurat (jika perlu) . Kegagalan berbuat demikian akan mengganggu sahabat yang dikongsi teksnya.

8. Mengukuhkan ukhuwah. Datang ke majlis dengan hasrat untuk mengukuhkan ukhuwah dan berkasih sayang kerana Allah. Maksud hadis: Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Rasullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah Ta'ala berfirman pada hari kiamat "Manakah orang-orang yang saling cinta-mencintai kerana keagungan-Ku? Pada hari ini mereka itu akan Aku beri naungan pada hari ini tiada naungan melainkan naungan-Ku sendiri." (Muslim)

9. Menuntut ilmu. Berazam untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman bagi diamalkan dan disampaikan kepada orang lain kecuali perkara yang rahsia. Maksud hadis: Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan memudahkan baginya suatu jalan untuk menuju ke syurga. (Muslim)

10. Duduk bersopan. Duduk dengan bersopan santun. Majlis usrah adalah majlis zikrullah dan dihadiri sama oleh para malaikat. Janganlah engkau layangkan pemandangan engkau kepada barang yang telah Kami beri kesukaan kepada bermacam-macam orang kafir dan janganlah engkau berdukacita terhadap mereka itu dan rendahkanlah sayap engkau kepada orang-orang yang beriman (berhina dirilah, jangan sombong). (Al Hijr, 15:88) Nota penyunting: Janganlah berlunjur. Apabila hendak beralih kedudukan, lakukan dengan sopan. Terlalu kerap mengubah cara duduk boleh mengganggu sahabat kita.

Sabda Rasullah s.a.w., maksudnya: .... Dari Abu Hurairah radiallahu anhu dan Abu Said r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: Tiada suatu kaum pun duduk-duduk sambil berzikir kepada Allah melainkan dikelilingi oleh para malaikat dan ditutupi oleh rahmat serta turunlah kepada mereka itu ketenangan di dalam hati mereka dan Allah mengingatkan mereka kepada makhluk-makhluk yang ada di sisinya yakni disebutkan-sebutkan hal ehwal mereka itu di kalangan para Malaikat. (Muslim)

11. Fatihah dan selawat. Mulakan majlis dengan membaca al-Fatihah dan berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Maksud hadis: Dan daripada (Abu Hurairah) dari Nabi s.a.w. sabdanya: Tiada suatu kaum pun yang duduk di suatu majlis yang mereka tiada berzikir kepada Allah Ta'ala dalam majlis tadi, juga tidak mengucapkan bacaan selawat kepada Nabi mereka di dalamnya, melainkan atas mereka itu ada kekurangannya. Jikalau Allah berkehendak, maka Allah akan menyeksa mereka dan jikalau Allah berkehendak, maka Allah akan mengampunkan mereka. (Tarmizi) Nota penyunting: Berselawat tidak menjadi amalan usrah saya pada masa lalu, sama ada semasa saya menjadi ahli, naqib atau penasihat. Saya mesti membetulkan keadaan ini. Seorang sahabat usrah saya, Samsudin bin Basar, memberi komen bahawa permulaan usrah nampak selari dengan rukun khutbah. Tambahan: Alhamdulillah, pada 11 Februari 1999, apabila saya berpeluang menggantikan naqib, saya telah melaksanakan hal ini.

12. Menyampaikan kepada orang lain. Mendengar segala penjelasan, bacaan-bacaan, arahan-arahan dan pengajaran dengan teliti dan tenang sambil cuba memahaminya, mencatat dan mengingati dengan tepat sebelum disampaikan kepada orang lain. Maksud hadis: Dari Abi Bakrah r.a. dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: Hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir kerana sesungguhnya mudah-mudahan (diharapkan) orang yang disampaikan itu kepadanya lebih hafaz dan lebih faham dari yang menyampaikannya. (Bukhari dan Muslim)

13. Bertanya dengan izin. Memohon penjelasan atau mengemukakan pertanyaan selepas diberi peluang atau setelah meminta izin naqib atau naqibah.

14. Mencelah apabila sangat perlu. Jangan mencelah ketika naqib atau sahabat sedang memberi penerangan kecuali dalam perkara yang memerlukan teguran yang segera (seperti membetulkan bacaan yang silap). Jika kita mencelah, naqib atau sahabat usrah mungkin kehilangan tumpuan terhadap perkara yang sedang diperkatakan.

15. Mengawal suara. Jangan mengangkat suara tinggi lebih daripada keperluan pendengar. Ini adalah perkara yang dilarang oleh Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai. (Luqman, 3:19)

16. Tenang dan serius. Jangan banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah bersifat tenang dan serius. Maksud hadis: Dari Anas r.a. katanya: Nabi Muhammad s.a.w. mengucapkan sebuah khutbah yang saya tidak pernah mendengar suatu khutbah pun seperti itu kerana amat menakutkan. Baginda bersabda: "Andai kata engkau semua dapat mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya engkau semua akan sedikit ketawa dan banyak menangis." Para sahabat menutupi wajah masing-masing sambil mendengar suara esakannya. (Mutaffaqun'alaih)

17. Jangan bergurau. Jangan banyak bergurau. Umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara. Banyak bergurau akan menjadikan majlis usrah bertukar menjadi majlis jenaka, gurau senda dan gelak ketawa. Keperluan bergurau terkawal dan terhad pada perkara yang benar sahaja. Saya bergurau tetapi saya tidak berkata sesuatu kecuali kebenaran. Nota penyunting: Saya belum pasti ungkapan ini hadis atau kata-kata biasa. Jika hadis, sumber hadis ini tidak tercatat dalam teks asal. Diharap ada pembaca yang lebih mengetahui memberi respons.

18. Jangan merokok. Jangan merokok di tempat usrah. Usahakanlah agar tabiat merokok ini boleh ditinggalkan terus. Bau asap boleh mengganggu sahabat dan tuan rumah yang tidak merokok. Nota penyunting: Alhamdulillah, telah hampir tujuh tahun saya dapat meninggalkan tabiat merokok. Usrah berjaya membentuk peribadi saya dari segi ini.

19. Jangan banyak soal. Jangan mempersoalkan arahan-arahan yang telah diberikan dengan jelas dan menepati syarat: Maksud hadis: Sesungguhnya binasa umat sebelum kamu kerana mereka banyak menyoal (yang tidak berfaedah) dan mereka suka menyalahi Nabi-nabi mereka. (Mutaffaqun'alaih)

20. Izin keluar majlis. Minta izin dari naqib sebelum keluar dari majlis kerana sesuatu keperluan. Ini adalah kerana keluar dari majlis tanpa izin adalah perangai orang muafik.

Firman Allah, maksudnya: Sesungguhnya yang sebenar-benar orang mukmin ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka berada bersama-sama Rasulullah dalam sesuatu urusan yang memerlukan pertemuan, mereka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (Muhammad) mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, maka apabila mereka meminta izin kepadamu kerana sesuatu keperluan, berilah izin kepada siapa yang kamu kehendaki antara mereka, dan mohonkanlah ampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (An-Nur 24:62)

21. Jangan bertengkar. Jangan sekali-kali bertengkar kerana ia akan merenggangkan ukhuwah sedangkan antara matlamat usrah ialah untuk memupuk ukhuwah.

Allah berfirman, maksudnya: Orang-orang mukmin itu sesungguhnya bersaudara. Sebab damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu dan takutlah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat. (Al-Hujurat, 49:10) Firman Allah lagi, Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. (Al-Anfal, 8:46)

22. Berusaha mengenali sahabat. Sentiasa berusaha di dalam dan di luar majlis usrah untuk mengenali sahabat-sahabat satu usrah.

23. Membaca tasbih kafarah. Akhiri majlis dengan membaca tasbih kafarah dan surah al-Asr secara sedar dan memahami serta menghayati maknanya. Maksud hadis: Daripada Abu Barzah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda pada penghabisannya jikalau beliau s.a.w. hendaklah berdiri dari majlis yang ertinya: "Maha Suci Engkau ya Allah, dan saya mengucapkan puji-pujian pada-Mu. Saya menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Engkau saya mohon ampun serta bertaubat pada-Mu." Kemudian ada seorang lelaki berkata. "Ya Rasulullah! Sesungguhnya tuan mengucapkan sesuatu ucapan yang tidak pernah tuan ucapkan sebelum ini." Baginda bersabda: "Yang demikian itu adalah sebagai kafarah (penebus) daripada apa saja yakni kekurangan-kekurangan atau kesalahan-kesalahan yang ada di dalam majlis itu." (Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud juga diriwayatkan oleh imam Hakim iaitu Abu Abdillah dalam kitab Al-Mustadrak dari riwayat Aisyah radiallahu anha dan ia mengatakan bahawa hadis ini adalah sahih isnadnya.)

24. Bersalaman. Bersalaman dan saling bermaaf-maafan selepas selesai majlis. Firman Allah s.w.t., maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik pada waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan marahnya serta memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. (Ali Imran, 3:134) Firman Allah s.w.t. lagi: Maksudnya: Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh." (Al-A'raf, 7:199)

25. Bersegera pulang. Terus pulang apabila selesai majlis kecuali ada keperluan yang penting. Ini adalah kerana (a) memberi peluang kepada tuan rumah untuk berkemas, dan (b) Mungkin tuan rumah letih dan hendak segera berehat atau dia ada urusan lain.

26. Menjaga rahsia jemaah. Merahsiakan setiap perbincangan, maklumat atau arahan yang telah diputuskan tentang sesuatu perkara itu sebagai rahsia atau setiap perkara yang dikirakan tidak patut untuk disebarkan.

Itulah di antara adab-adab usrah yang patut menjadi amalan setiap naqib atau naqibah dan setiap anggota usrah supaya matlamat usrah akan tercapai, insya Allah.


RUKUN USRAH

1. Taaruf. Taaruf bermaksud berkenalan secara mendalam hingga menimbulkan kasih sayang dengan tujuan al-hubbufillah. Firman Allah: Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara ....." Dan Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: Orang yang beriman dengan orang yang beriman yang lain laksana satu binaan, saling kuat menguat antara satu dengan yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: Kami mengasihi saudara kerana dia adalah saudara pada jalan Allah. Di samping itu sikap mahabbah mesti di buktikan dalam amalan dan penghayatan bukan sekadar teori semata-mata. At-Taaruf ialah kenal mengenal dari bab mufa'alah (daripada dua belah pihak) salbi dan i-jabi (memberi dan menerima)--kenal yang benar-benar, tahu selok-belok tentang saudara kita, supaya kita membuat dan bertindak untuk mengarah sesuatu yang sesuai dengannya.
2. Tafahum. Tafahum maksudnya bersefahaman. At-tafahum daripada bab mufa'alah juga, bertujuan supaya usrah membuahkan suatu sikap, satu tindakan daripada sama-sama faham, sama-sama beramal iaitu sama-sama menjalankan perintah Allah, tunduk kepada kebenaran, muhasabah diri, muhasabah sama-sama jemaah dan disusuli dengan nasihat menasihati antara saudara (ad-Dinul nasihah). Awas jangan sama sekali nasihat menasihati ini menimbulkan apa-apa perasaan yang tidak senang kepada satu sama lain, baik yang memberi atau menerima, cuba renungkan hadith di atas.

3. Takaful. Rukun ini merupakan dasar membela nasib sesama sendiri, supaya jangan ada orang yang terbiar atau terlantar nasibnya tidak terbela. Maksud rukun ini ialah anggota usrah hendaklah mengambil berat masalah-masalah yang dihadapi oleh saudaranya. Takaful ini merupakan pancaran pekerti yang dilahirkan daripada keimanan, dan merupakan inti sari daripada ukhuwah yang murni.

Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: Sesungguhnya seorang kamu pergi menunaikan sesuatu keperluan saudaranya lebih baik baginya daripada beriktikaf di masjid aku selama sebulan. (....) Dan sabdanya lagi, maksudnya: Sesiapa yang telah memasukkan kegembiraan iaitu menghilangkan kesusahan dan kesukaran kepada keluarga muslim, maka Tuhan tidak melihat balasan kepada selain syurga. (....) Inilah gambaran besar atau kecilnya at-takaful dalam Islam bagi rukun usrah ketiga.


TUGAS NAQIB

Bahan asas. Pastikan anak buah mempunyai bahan-bahan asas seperti al-Qur'an dan terjemahannya, buku dan alat tulis.
Muhasabah. Adakan satu sistem untuk muhasabah anak buah. Lakukan mengikut tahap-tahap tertentu, secara terbuka atau individu.
Jamuan. Jamuan boleh ada, boleh tiada. Jika diadakan, pastikan ia sederhana--bukan majlis menjamu selera.
Menjaga ibadah khusus: Kesempurnaan beribadat seperti solat, puasa, zakat dan ibadat nawafil mesti diutamakan. Pastikan anak buah anda benar-benar mengerti dan mengamalkannya. Sekali sekala, anjurkan ibadat nawafil jamai seperti qiamullail, puasa, zakat harta dan lain-lain.
Pemilihan tajuk. Gunakan kebijaksanaan dalam memilih tajuk usrah supaya dapat mengubati kelemahan yang wujud dalam diri anak buah anda dengan memilih tajuk yang sesuai dengan suasana anak buah anda, contohnya sekiranya usrah anda lemah dalam ikatan persaudaraan atau tidak cukup mesra maka jadikan tajuk usrah persaudaraan dan tuntutannya dalam Islam.
Cungkil bakat. Naqib hendaklah mencungkil bakat yang terpendam di dalam organisasi. Mereka mempunyai kebolehan dalam menulis kertas kerja dan mengajar, ceramah dan lain-lainnya mestilah diasah bakatnya dalam usrah.
Tambah ilmu. Anda mestilah menggalakkan anak buah anda membaca buku-buku ilmiah, pengetahuan termasuk majalah-majalah, surat khabar, kertas kerja, kajian ilmiah dan lain-lainnya. Tugaskan mereka membuat ringkasan dalam usrah, khususnya buku-buku keluaran jamaah kita termasuk kaset-kaset rakaman syarahan pimpinan parti.
Wujudkan subkumpulan. Anggota usrah yang sedia ada hendaklah ditugaskan mengadakan kelompok-kelompok usrah yang baru, mereka ditugaskan memimpinnya. Anda hendaklah menjadi penyelia kepada kelompok-kelompok baru itu.
Teks usrah. Pada peringkat permulaan dinasihatkan supaya setiap usrah mempunyai kitab atau teks yang tertentu. Sekiranya perlu, jamaah hendaklah membeli kitab-kitab rujukan tersebut.
Tabung usrah. Usahakan sedaya upaya usrah mempunyai tabung, setiap kali berusrah hendaklah dipungut derma walaupun kadar yang paling sedikit.
Aktiviti sokongan. Sekali sekala anjurkan perkelahan di tempat-tempat yang difikirkan munasabah seperti di tepi pantai di sungai, di pedalaman dan ziarah tempat-tempat bersejarah atau tokoh-tokoh jamaah kita khususnya para ulama. Jadikan muhasabah ini suatu peluang mengenali rakan seperjuangan saudara dari dekat.
Profil ahli. Adalah amat berguna sekiranya naqib mempunyai nota atau diari, khususnya mengenai anggota usrah. Diari ini mengandungi maklumat yang membolehkan mengetahui kebolehan, keistimewaan kedudukan serta iltizam ahli usrahnya.
Mengikuti perkembangan sahsiah. Naqib bertanggungjawab mengembang dan mengikuti kemajuan sahsiah anggota usrah. Adab mestilah dijaga--jangan sama sekali berlaku jadar (berbalah) dan perbincangan yang tidak berguna sehingga terkeluar daripada adab seperti mengeluarkan suara nyaring.

10 Muwassafat Tarbiyah

Posted by Raudhatul Tarbiyyah at 7:26 AM 0 comments
Muslim yang ingin mempersiapkan diri dalam perjuangan Islam perlu memperbaiki dirinya agar sentiasa terkehadapan daripada manusia lain. Risalah Islam yang syumul ini hendaklah difahami dengan membentuk diri yang syumul juga. Maka hendaklah diteliti di sini tentang aspek-aspek seorang da’ie Muslim dalam rangkanya untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna. Sifat-sifat yang perlu ada pada diri ialah:


1) Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)

Dakwah adalah berat pada tanggungjawab dan tugasnya, maka di sini perlunya seorang da’ie itu tubuh badan yang sihat dan kuat. Rasulullah saw menitikberatkan soal ini, sabdanya:

"Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan."
Kita juga hendaklah sentiasa memeriksa kesihatan diri, mengamalkan riadah dan tidak memakan atau minum suatu yang boleh dan diketahui merosakkan badan.


2) Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)

Akhlak kita ialah Al-Quran dan ianya terserlah pada diri Nabi saw. Telah dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan seorang da’ie iaitu bersifat sensitif, tawadhu’, benar dalam perkataan dan perbuatannya, tegas, menunaikan janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dan lain-lain.


3) Fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri)

Seorang da’ie perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain perihalnya di samping perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis serta ulama’ yang thiqah. Pesan Imam Banna:

"Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi."

Selain itu, seorang da’ie perlu mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, sentiasa mempelajari sirah, kisah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.


4) Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)

Seorang da’ie walaupun kaya, perlu bekerja. Dia juga tidak boleh terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan. Dalam keadaan tertentu, meletakkan jawatan dan meninggalkan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan yang diterima. Selain itu, dia hendaklah sentiasa melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan). Dalam soal kewangan, menjauhi riba dalam semua lapangan, menyimpan untuk waktu kesempitan, menjauhi segala bentuk kemewahan apatah lagi pembaziran dan memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam adalah beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan.


5) Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)

Seorang da’ie semestinya redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad saw sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir. Sentiasalah muraqabah kepada Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir. Di samping itu, jangan dilupakan tugas menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.


6) Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)

Seorang da’ie perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya, perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram dan tidak melampau atau berkurang (pertengahan) atau dengan kata lainnya bersederhana dalam setiap urusan dalam kehidupannya.


7) Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)

Seorang da’ie perlu mempunyai azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam di samping tidak menghiraukan apa orang lain kata dalam mempraktikkan Islam yang sebenarnya. Perlulah diingatkan bahawa dai'e mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.



8) Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)

Sentiasa beringat bahawa waktu, nilainya lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula. Mengimbau kembali sejarah di zaman dahulu, para sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.


9) Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)

Untuk manfaatkan waktu dengan baik, maka timbulnya keperluan kepada penyusunan dalam segala urusan. Gunakanlah segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.


10) Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)

Da'ie umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh jalan orang lain. Da'ie adalah penggerak kepada dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup dan terkuburnya Islam bergantung kepada da’ie. Amal Islam seorang da’ie ialah untuk menyelamatkan orang lain daripada kesesatan. Da'ie akan sentiasa merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.
 

UNDER CONSTRUCTION!! Copyright 2009 Reflection Designed by Ipiet Templates Image by Tadpole's Notez